loader

NEWS


Keselamatan siber penting bagi semua sector

Date: October 22, 2014

Source:

Pelita Brunei


Pertubuhan Kerjasama Islam - Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer (OIC-CERT) menyifatkan keselamatan siber adalah amat penting bagi semua sektor sekali gus memberikan tumpuan kepada cabaran bagi mengurus ancaman siber dan risiko sambil mencari peluang-peluang ekonomi daripadanya.

Pengerusi OIC-CERT dan Ketua Pengarah Oman National Cert, Eng. Badar Ali Said Al-Salehi menyatakan perkara itu pada Sidang Media sempena Persidangan Tahunan dan Mesyuarat Am Tahunan (AGM) Ke-6 2014 OIC-CERT, berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini.

"Ruang siber adalah sangat dinamik, tidak menentu dan rumit disebabkan 'internet' telah menjadi infrastruktur penting untuk ekonomi dan masyarakat, akibatnya gangguan atau salah guna di 'internet' boleh mendatangkan kesan buruk," ujarnya.

Di samping itu, jelasnya, penyertaan beberapa buah negara pada setiap tahun begitu membanggakan kerana Persidangan Tahunan OIC-CERT adalah inisiatif berterusan untuk meningkatkan keselamatan siber dan kesedaran melalui kerjasama antarabangsa dalam kalangan ahli-ahli dan lain-lain organisasi untuk mendapatkan maklumat keselamatan.

Beliau menjelaskan, OIC-CERT mempunyai matlamat utama seperti memperkukuhkan hubungan dalam kalangan negara anggota OIC; mencegah atau mengurangkan keganasan siber dan jenayah komputer; memupuk program pendidikan dan jangkauan; menggalakkan kerjasama penyelidikan teknologi dan pembangunan; dan menyediakan rangkaian kecemasan siber.

OIC-CERT ditubuhkan pada tahun 2009 berikutan resolusi yang diterima dari Persidangan OIC Sesi Ke-35 Majlis Menteri-Menteri Luar Negara yang diadakan di Kampala, Uganda pada 18-20 Jun 2008.

Ini adalah platform bagi negara-negara anggota untuk meneroka dan membangunkan inisiatif kerjasama dan kemungkinan perkongsian dalam perkara berkaitan dengan keselamatan siber yang boleh mengukuhkan sifat berdikari mereka dalam ruang siber.

OIC-CERT yang wakili 32 anggota dari 19 buah negara bertindak sebagai 'kuasa operasi' yang memanfaatkan rangkaian kukuh dan kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota OIC.

Bidang kerjasama yang diambil perhatian ialah penubuhan CERT kebangsaan di setiap negara anggota OIC-CERT; mewujud dan meningkatkan standard dan peraturan yang sama; dan pembangunan serta penyelesaian dari segi teknikal dan teknologi.