loader

NEWS


Tangani ancaman secara menyeluruh

Date: October 22, 2014

Source:

Media Permata


Negara Brunei Darussalam juga tidak dapat lari daripada menghadapi beberapa ancaman jenayah siber di mana antara yang dilaporkan di negara ini adalah kecurian identiti (Identity Theft) iaitu melibatkan akaun pengguna seperti di laman sosial termasuk Facebook dan Twitter yang digunakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Di samping itu, terdapat juga beberapa kes ‘Sextortion’ dilaporkan di Brunei dan disebabkan kebimbangan dari segi jumlah kes dan juga tahap serius kes-kes berkenaan pihak BruCERT telah menggandakan usaha dan program kesedaran khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada menjadi mangsa kepada perbuatan berkenaan.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS Sdn Bhd/BruCERT, Awang Shamsul Bahri Haji Kamis dalam sidang media selepas Perasmian Persidangan OIC-CERT 2014 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini. Beliau menambah bahawa pelbagai program dilaksanakan menerusi program-program pendekatan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai jenis jenayah siber khusus kepada kumpulan yang mudah terdedah seperti kanak-kanak dan remaja.

Menyentuh mengenai kerjasama erat bersama agensi-agensi berkenaan untuk menangani masalah Sextortion itu, Awang Shamsul Bahri berkata pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan secara aktif mengadakan program kesedaran dari sekolah ke sekolah dan juga kepada orang ramai serta melalui laman sesawang kesedaran, Secure Verify Connect.


Awang Shamsul Bahri (kiri) berkata bahawa program-program pendekatan masyarakat terus dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai jenis jenayah siber khusus kepada kumpulan yang mudah terdedah seperti kanak-kanak dan remaja.


Menerusi program pendekatan itu, ia tidak sahaja menumpukan kepada isu-isu berkaitan dengan Sextortion tetapi juga isu-isu lain, namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kes-kes ini telah meningkat yang membawa kepada penumpuan program kesedaran terhadap masalah berkenaan.

Mengulas mengenai jumlah kes yang dilaporkan, beliau berkata bahawa pihaknya terus bekerjasama dengan pihak yang berkenaan dan membantu pihak polis dalam siasatan kes-kes tertentu dan walaupun dipercayai kes itu telah meningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan, jumlah kes itu dijangka akan menurun pada 2015 dengan meningkatnya kesedaran orang ramai mengenai jenayah siber itu.

Bercakap mengenai persidangan itu pula, beliau berkata ia dihasratkan untuk mengumpulkan semua pihak-pihak yang berkepentingan dari sektor swasta dan kerajaan untuk mendedahkan mereka kepada isu-isu ancaman yang berhubung dengan sekuriti siber.

Dari segi persediaan negara untuk menghadapi ancaman siber, beliau berkata bahawa kita harus terus meningkatkan usaha supaya dapat menyelaraskan kepada perkembangan terkini terutama dari segi teknologi dan pembangunan kapasiti. Adalah juga diharap bahawa pencapaian pembangunan kapasiti dapat dikongsi dengan pihak-pihak berkenaan termasuk sektor kerajaan dan swasta khususnya yang berkaitan dengan infrastruktur maklumat negara yang kritikal seperti minyak dan gas, tenaga dan juga sektor kewangan.

Usaha yang berterusan itu sedang dilaksanakan secara berfasa termasuk usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai ancaman siber dan jenayah siber kepada orang ramai.